Halaman

Sabtu, 22 Jun 2013

Sejarah Pertembungan Syaitan dengan Manusia



Syaitan ialah makhluk Allah SWT yang diciptakan daripada api. Pada awal penciptaannya, syaitan merupakan  antara makhluk yang dekat dengan Allah SWT. Malah tergolong antara malaikat-malaikat yang utama. Kekafirannya adalah bukan ia tidak mempercayai kekuasaan dan kebenaran Allah SWT, tetapi ia adalah sifat ego dan angkuh yang ada pada makhluk ini.

Sejarahnya bermula begini, dahulunya iblis bernama Azazil adalah salah seorang dari malaikat utama selain dari Jibril, Mikail, Izrail dan lain-lain. Azazil adalah makhluk yang amat dekat dengan Allah SWT. Pada suatu ketika, tertulis di tiang langit  Allah SWT bahawasanya, "Kelak akan ada seorang hamba Allah yang dahulunya amat mentaati Allah, namun sesudah itu  menjadi durhaka dan kafir serta akan memenuhi neraka.” Malaikat-malaikat  lain yang terlihat tulisan tersebut, semuanya bersedih hati menangis. Mereka bimbang dan khuatir kalau-kalau ‘hamba’ yang dimaksudkan Allah SWT dalam tulisan itu adalah mereka. Namun berbeza bagi Azazil. Dia sedikit pun tidak berasa takut dan sedih, dia yakin bahawa Allah SWT sangat sayang padanya. Para malaikat lain meminta Azazil agar mendoakan kepada Allah SWT supaya ‘hamba’ yang dimaksudkan itu bukanlah mereka.  Lantas Azazil berdoa dan memohon dengan angkuh supaya Allah mengasihani malaikat-malaikat lain, namun dia tidak berdoa perkara yang sama untuk dirinya kerana dia bergitu yakin iaitu ‘hamba’ yang dimaksudkan itu bukan dirinya.  Lebih mengharukan, Azazil meminta kebenaran Allah SWT untuk mengutuk ‘hamba’ yang dimaksudkan itu. Lama-kelamaan angkuh Azazil semakin menebal. Dan tibalah masanya sehingga Allah SWT berfirman di dalam surah al-Baqarah :: 30,

“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat,”Sesunguhnya Aku hendak menjadikan khalifah di muka bumi….”

Pada awalnya semua malaikat mempertikaikan keputusan Allah SWT tersebut namun setelah diperlihatkan kebijaksanaan Nabi Adam a.s, barulah semua malaikat bersujud kepada Nabi Adam a.s kecuali iblis.

Firman Allah SWT  di dalam surah al-Baqarah :: 34,

Dan (ingatlah)  ketika Kami berfirman kepada para malaikat, “Sujudlah kamu kepada Adam,  maka sujudlah mereka kecuali iblis, ia enggan dan takbur dan adalah ia termasuk golongan orang-orang yang kafir.”

Ketika inilah Azazil mengingkari perintah Allah SWT lalu namanya ‘iblis’ yang beerti ‘hamba yang dijauhkan’. Iblis berasa cemburu dengan Nabi Adam. Sifat angkuh dan egonya membuatkan ia tidak mahu tunduk kepada perintah Allah SWT. Konon katanya,

“Aku lebih baik daripadanya kerana Engkau ciptakan aku dari api, sedangkan dia Engkau ciptakan dari tanah.”    [Shaad :: 76]

Lalu seketika itu juga  iblis menjadi kafir kerana menderhakai Allah SWT. Lalu tahulah dia selama ini, ‘hamba’ yang dimaksudkan Allah SWT dahulu  adalah dirinya sendiri. Kerana angkuh dan sombongnya, dia sendiri tidak pernah bermuhasabah  diri, malah tanpa rasa bersalah meminta izin Allah SWT untuk mengutuk dirinya sendiri. Sebaliknya, sikap yang sepatutnya ialah memohon keampunan untuk ‘hamba’ itu. Sifat angkuh inilah yang memakan dirinya sendiri. Kemudian Allah SWT berfirman kepada iblis di dalam surah Shaad :: 77

“Maka keluarlah kamu dari syurga, sesungguhnya kamu adalah orang yang terkutuk.”

Sejak dari itu, iblis menyimpan dendam terhadap manusia. Lalu dia mula merangka strategi untuk menghancurkan manusia. Iblis berikrar,

Demi kekuasaan Engkau (Allah), aku akan menyesatkan mereka semuanya,”
[Shaad:: 82]

Lalu Allah SWT berfirman kepada iblis di dalam surah Shaad:: 85,

” Sesungguhnya aku pasti akan memenuhi neraka Jahanam dengan jenis kamu dan dengan orang-orang yang mengikuti kamu di antara mereka kesemuanya.”


Demikianlah bermulanya perjuangan iblis untuk menggagalkan anak cucu Adam untuk kembali ke tempat asal mereka iaitu syurga. Syaitan tidak pernah berhenti menghasut dan menggoda kita sampai ke hari kehancurannya. Jadi, marilah kita sama-sama meningkatkan perisai iman dan takwa agar, agar musuh moyang kita ini serta musuh kita sendiri ini, tidak dapat menguasai diri kita. 




"Wahai Tuhanku, aku berlindung kepadaMu dari hasutan Syaitan-syaitan""Dan aku berlindung kepadaMu, wahai Tuhanku, supaya Syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku"
(An-Naml : 19)



Tiada ulasan:

Catat Ulasan